Sunday 6 November 2016

Shafie dijangka hadir beri keterangan di Bukit Aman esok


Post Pic
Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi esok (Isnin - 07 Nov 2016) bagi memberi keterangan berhubung kenyataannya berkaitan 1MDB di Parlimen baru-baru ini.

Laporan The Star yang memetik sumber terdekat dengan Shafie berkata, Ahli Parlimen Semporna itu dihubungi polis pada Rabu lalu untuk dipanggil memberi keterangan.

Menurut sumber itu lagi, kedua-dua pihak bersetuju untuk Shafie hadir memberi keterangan pada jam 10 pagi. 

Keterangan Shafie itu bagi membantu siasatan polis mengenai dakwaan membocorkan rahsia kerajaan, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata pihaknya mempunyai asas yang cukup untuk menyiasat tiga bekas menteri di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan.

Kata Khalid, kes 1MDB masih dalam siasatan dan mendedahkan beberapa perkara yang membabitkan dakwaan salah laku terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diklasifikasikan sebagai Akta Hasutan.

Tiga bekas menteri berkenaan termasuk Shafie, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - TOKJANGGUT

No comments:

Post a Comment