Friday 4 November 2016

Jutawan bunuh kekasih dijel seumur hidup


SEORANG jutawan perniagaan dari New York, Amerika Syarikat dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan membunuh seorang wanita yang dikenalinya melalui laman temu janji dalam talian.

Sammy Almahri, 45, bakal meringkuk sekurang-kurangnya 17 tahun dalam penjara atas kesalahan membunuh Nadine Aburas, 28, di hotel Future Inn di Cardiff, Wales, United Kingdom pada malam Tahun Baharu 2014.
 
Tidak cukup dengan bunuh, jutawan itu juga memandikan jenazah wanita itu, memakaikan baju, membaringkan tubuh tidak bernyawa itu di atas katil, sebelum menulis sepucuk surat 'terakhir' untuk menampakkan seakan-akan Aburas telah bunuh diri.

 Almahri kemudiannya menyangkut tanda "Jangan Ganggu" di tombol luar pintu bilik berkenaan sebelum bertindak melarikan diri ke negara asalnya, Amerika Syarikat.



Dalam keterangan, Mahkamah Diraja Cardiff telah mendengar bahawa pasangan itu bertemu menerusi laman temu jani dalam talian bernama MuslimMatch.com pada tahun 2013.
 
Semasa sesi perkenalan, Almahri telah memberi maklumat palsu kepada Aburas kononnya dia bekerja dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
 
Almahri juga digambarkan begitu 'mabuk kepayang' terhadap Aburas.

Bagaimanapun, hubungan cinta mereka mengalami masalah pada tahun 2014 semasa Aburas melawat Almahri di New York.

 
Apabila mangsa kembali ke rumah keluarganya di Cardiff, dia dikatakan kelihatan 'penat lesu', sebelum hubungi pihak polis untuk membuat laporan bahawa dia dirogol – walaupun aduan itu tidak dilanjutkan oleh dia mahupun pihak polis.

Almahri juga telah mengugut untuk memuat naik gambar bogel Aburas di Facebook dan juga telah menyelongkar mesej di dalam telefon bimbit wanita itu kerana yakin dia curang bersama lelaki lain di Cardiff.
 
Beberapa hari sebelum membunuh Aburas, pasangan kekasih itu bergaduh teruk akibat cemburu buta Almahri.
 
Melalui khidmat pesanan ringkas, Almahri memaki Aburas dengan kata-kata kesat: "Celaka kau, kau akan menyesal nanti, kau akan menyesal atas semua yang kau lakukan, dia cuma mahu meniduri kamu.
 
"Aku akan sampai ke Cardiff nanti, kau akan terima padahnya, aku harap kau sedar apa yang kau sudah lakukan sebelum aku tiba nanti."
 
Almahri tiba di UK pada 27 Disember dan bertemu dengan Aburas di London. Mereka ke Cardiff keesokan harinya, tetapi pada 30 Disember satu pergaduhan telah tercetus antara Almahri dan abang Aburas, yang berang selepas mengetahui ugutan Almahri untuk menyebarkan gambar bogel adik perempuannya.

Selepas diberitahu untuk meninggalkan Cardiff oleh ahli keluarga Aburas, Almahri daftar masuk ke dalam sebuah hotel sebelum meminum kuantiti alkohol yang banyak, termasuk sembilan tegukan tekuila.
 
Selepas membunuh Aburas, dia minum tiga teguk tekuila lagi serta dua botol besar bir jenis lager.
 
Kemudian, Almahri memandu ke Lapangan Terbang Heathrow menggunakan kereta mangsa dan menaiki pesawat ke Qatar, sebelum tiba di Tanzania. Mayat Aburas ditemui oleh seorang pekerja hotel keesokan harinya.
 
Untuk menghapuskan bukti jenayahnya, Almahri telah membuat beberapa panggilan kepada polis beberapa hari selepas insiden pembunuhan itu untuk menyatakan Aburas membunuh dirinya kerana dia tidak mampu hidup tanpa lelaki itu.
 
Kata Almahri kepada polis: "Saya bukan penjenayah. Saya tidak membunuhnya, dia minta supaya saya membantunya. Ya, saya telah melakukan apa yang disuruh… ada kesan cakaran kecil pada bahagian lehernya."
 
Bedah siasat menyimpulkan Aburas meninggal dunia akibat tekanan pada leher dan mukanya.
 
Pada awalnya, Almahri mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat, namun telah menafikan dia telah membunuh Aburas atas sebab dia mengalami gangguan mental dan melakukan jenayah tersebut oleh kerana dia terdengar 'suara dari tuhan'.
 
Namun pada hari kedua perbicaraannya di Mahkamah Diraja Cardiff bulan lalu, dia telah mengaku bersalah membunuh teman wanitanya itu.
 
Semasa menjatuhkan hukuman kepada Almahri, hakim Nicola Davies berkata: "Hanya kamu yang tahu apa sebenarnya berlaku di dalam bilik hotel tersebut yang membawa kepada kematian Aburas. Saya amat yakin pembunuhan Aburas adalah disebabkan perasaan cemburu buta dan kemarahan melampau," kata hakim.
 
Ditemu bual di luar mahkamah, ahli keluarga Aburas meluahkan cara kematian wanita tersebut sebagai amat menyedihkan.

"Sammy Almahri telah 'merampas' Nadine (Aburas) daripada kami pada masa dia baru mahu memulakan hidupnya sebagai orang dewasa.

"Nadine adalah seorang wanita muda yang menakjubkan, berani, bijak dan penuh kasih sayang. Hilai tawa dan kecantikan yang dia bawa ke dalam hidup kami akan sentiasa dirindui," kata keluarganya. - TOKJANGGUT

No comments:

Post a Comment