Tuesday 15 November 2016

Gambar Jamal dengan tiga pemuda baju kuning cetus tanda tanya

jamal-bersih
Sekeping gambar menunjukkan pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos tersenyum mesra dengan tiga pemuda memakai baju kuning Bersih 5 mencetuskan kebimbangan mengenai penglibatan agent provocateur untuk sengaja mengundang kekacauan pada perhimpunan Sabtu ini.

Akhbar TheSun melaporkan, gambar yang dikongsi meluas di media sosial itu menimbulkan persoalan mengenai niat sebenar Jamal, yang sebelum ini berjanji akan melakukan apa sahaja bagi menghalang perhimpunan anjuran Bersih 2.0 itu.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah tidak menolak ia mungkin usaha mencetuskan kekacauan yang kemudiannya akan dituduh sebagai perbuatan penyokong Bersih.

Jamal bagaimanapun, menafikan dakwaan itu, dan berkata, beliau terserempak dengan tiga pemuda itu di sebuah masjid di Ampang Jaya.

"Saya bertemu mereka pada Ahad ketika solat Zohor. Saya menganggap pemuda itu saudara saya.

"Saya menasihati mereka, dan mereka diselamatkan Tuhan dan bertaubat daripada menyertai Bersih," Jamal dipetik TheSun sebagai berkata.

Jamal dan penyokongnya sebelum ini beberapa kali bertembung dengan penyokong Bersih dalam usaha menghalang perhimpunan itu.

Ahad lalu, ketua Umno Sungai Besar itu tercedera di bahagian hidung selepas pergelutan dengan beberapa pegawai polis di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, beberapa minit selepas penyokong beliau mengherdik Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin ketika dalam kempen mempromosi perhimpunan Bersih 5.

Zuraida tanya, siapa benarkan Jamal naik helikopter

zuraida-jamal-heli--1
Ketua Wanita PKR berkata, beliau hairan Datuk Jamal Md Yunos dapat kemudahan sewenang-wenangnya menggunakan helikopter komersil untuk tujuan yang tidak bermanfaat.

Zuraidah Kamaruddin berkata, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu memperoleh kelulusan menggunakan helikopter dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Katanya, beliau percaya ada pihak atasan yang meluluskan permohonan tersebut.

"Bagaimana kewangan dia (Jamal) untuk dapatkan satu perjalanan menaiki helikopter. Kita boleh persoalkan siapa yang menjadi 'funder' helikopter itu.

Tuesday 8 November 2016

Tun M tak menyesal letak jawatan PM


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, beliau tidak pernah menyesal di atas keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Katanya, tindakan beliau mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada 2003 dibuat kerana beliau percaya dan sedar negara memerlukan pemimpin yang baharu.

"Tak macam perdana menteri kita sekarang ini (merujuk kepada Datuk Seri Najib Tun Razak) yang tak sedar lagi," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di bangunan sementara Parlimen di sini, hari ini.


Terdahulu, Tun Dr. Mahathir hadir ke Parlimen kira-kira jam 10 pagi untuk perbincangan bersama Ahli Parlimen dari pembangkang mengenai usaha mempertahankan Parlimen dan kuasa imuniti dalam Parlimen.

Turut hadir, bersama Tun Dr. Mahathir ialah Presiden Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Selain itu, lebih 30 orang anggota parlimen pembangkang turut hadir dalam mesyuarat ‎itu.

Tun M kembali jejak kaki ke Parlimen




Setelah sekian lama meninggalkan tugas sebagai Ahli Parlimen, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini dilihat kembali menjejakkan kaki ke 'tempat kerjanya dahulu'.

Tun Dr. Mahathir yang hadir ke Parlimen kira-kira jam 10 pagi dipercayai atas ‎tujuan untuk mengadakan perbincangan mengenai usaha mempertahankan Parlimen dan kuasa imuniti dalam Parlimen.

Sementara itu, dalam satu jemputan Komunikasi PKR kepada media mengatakan, Tun Dr. Mahathir akan mengadakan satu mesyuarat yang tidak dinyatakan tujuannya.

"Harap maklum bahawa Ahli-Ahli Parlimen pembangkang bersama Tun Dr. Mahathir akan mengadakan satu mesyuarat pada hari ini, jam 10.30 pagi di Bilik Taklimat (Bangunan Sementara Parlimen).

"Pihak media dijemput hadir, dan satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat tersebut," katanya.

Pak Lah suka tinggal bawah jambatan

Biarpun sudah berusia 78 tahun, namun seorang lelaki yang hidup sebatang ketara lebih 'suka' tinggal di bawah jambatan di Kampung Sungai Durian, dekat Pasir Puteh, Kelantan, biarpun beberapa kali dipujuk untuk berpindah ke kediaman yang lebih selesa.


Malah Abdullah Mat Jusoh yang tidak pernah berkahwin sepanjang hayatnya tidak mahu digelar sebagai gelandangan.

Dia yang menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dipujuk beberapa kali oleh pegawai jabatan itu untuk berpindah ke rumah orang tua, tetapi menolaknya.

"Sekarang sudah lebih setahun tidur bangun di atas pangkin di bawah jambatan walaupun pernah diajak oleh adik serta anak-anak saudara untuk tinggal di tempat yang lebih selesa.

"Dia tetap menolak dan menyatakan tidak mahu menyusahkan orang, dia tak mahu pergi ke rumah kebajikan sebab dia hendak di tinggal di kawasan kampung ini sahaja" kata seorang penduduk yang enggan dikenali ketika ditemui.

Sebelum ini, Abdullah tinggal di sebuah pondok yang terletak dalam sebuah kebun getah berdekatan namun disebabkan strukturnya telah runtuh, dia berpindah ke bawah jambatan tersebut.

Tahanan reman 'Mat Yeh' disambung


Perintah tahanan reman terhadap seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes pegawai kanan Kastam wa­nita maut dilanggar tonto di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas di Kelantan pada 7 Oktober lalu dilanjutkan seminggu lagi.

Tempoh tahanan reman bermula esok dan berakhir 15 November itu dikeluarkan terhadap suspek digelar 'Mat Yeh' berusia 34 tahun berkenaan, setelah tempoh reman tujuh hari sebelum ini berakhir hari ini.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Izuddin Mohd. Shukri bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan.

Pada 7 Oktober lalu, pegawai kanan Kastam Rantau Panjang, Anisah Ali, 54, parah selepas kenderaan dinaikinya dalam operasi dilanggar tonto di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas.

Anisah disahkan meninggal dunia selepas sehari menerima rawatan di Hospital Raja Perem­puan Zainab II (HRPZ II).
 
Susulan kejadian itu, polis memburu seorang lelaki gempal dikenali sebagai Mat Yeh yang disyaki menjadi suspek utama dalam kes tersebut.